Perkenal kios roti segar

July 20, 2010 News

KUMPULAN Rahman Brothers Sdn Bhd, syarikat Bumiputera melebarkan lagi pengaruhnya dengan memperkenalkan kios roti dikenali sebagai Bread Pit Stop (BPS) dan menyasarkan membuka 200 kios menjelang akhir tahun ini.

Penolong Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Perancangannya, Syahrul Zaman Mohd Shahril, berkata pihaknya melancarkan pembukaan kios terbabit pada April lalu dan sambutan yang diterima sangat memuaskan apabila ramai yang memohon untuk membuka kios BPS.

Katanya, selain mudah diuruskan, kios BPS dapat menjana pendapatan sampingan dengan margin keuntungan dari 15 hingga 20 peratus.

“Kami tidak menggunakan konsep francais kerana tidak mahu membebankan usahawan, malah dengan serendah RM5,999 sesiapa saja sudah boleh menjadi peniaga BPS dan kami akan menyediakan peralatan, bekalan roti, pengiklanan dan latihan.

“Ia bagus untuk mereka yang sudah ada kedai atau mereka yang baru menceburi perniagaan kerana roti mudah disediakan dan hanya mengambil masa tiga hingga lima minit saja untuk dipanaskan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, kios itu menawarkan 15 jenis roti kepada pelanggan yang inginkan roti segar pada harga RM2.50 bagi semua jenis.

“Kios pertama sudah dibuka di HUKM dan kami akan membuka lima lagi di Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Johor dan Kedah tidak lama lagi,” katanya.

Sumber: myMetro

Tags:

Leave a Reply