Kios roti Rahman Brothers berkonsepkan gerai burger

July 12, 2010 News


KAKITANGAN Kumpulan Rahman Brothers menunjukkan kios Bread Pit Stop yang bakal memasuki pasaran secara meluas tidak lama lagi.

Oleh JOHANNA A. SOBREY
johanna.sobrey@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Kumpulan Rahman Brothers Sdn. Bhd. (Kumpulan Rahman Brothers), menyasarkan pembukaan 200 buah kios roti yang dikenali sebagai Bread Pit Stop di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

Penolong Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Perancangan Korporat Kumpulan Rahman Brothers, Syahrul Zaman Mohd. Shahril menjelaskan, kios itu berkonsepkan perkhidmatan segera dengan menawarkan kira-kira 15 jenis roti kepada para pelanggan yang inginkan roti segar pada kadar segera.

“Bread Pit Stop adalah seperti gerai burger yang biasa kita tengok di merata tempat.

“Berbeza dengan burger, kami menawarkan alternatif dengan menyediakan pelbagai jenis roti dan ban seperti croissant, donut, ban berperisa rendang ayam, ikan bilis dan sardin yang enak serta berkhasiat pada harga standard RM2.50 sebiji,” katanya ketika ditemui Kosmo! di ibu pejabat syarikat itu baru-baru ini.

Menurut Syahrul Zaman, kios tersebut bukan sahaja menyediakan roti panas dalam masa kira-kira tiga minit tetapi juga memberi peluang kepada pelanggan untuk membawa pulang roti beku untuk dipanaskan dan seterusnya dinikmati di rumah.

Katanya, roti-roti yang disediakan itu telah mendapat pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dihasilkan di kilang yang mematuhi piawaian Titik Kawalan Kritikal dan Analisis Berbahaya (HACCP).

“Kami telah membuka kios pertama di Pusat Perubatan UKM sejak bulan Mac lalu.

“Kami juga akan membuka lima kios lagi di pusat pameran automotif Syarikat Rahman Brothers Motor Sdn. Bhd., masing-masing di Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Johor dan Kedah tidak lama lagi,” jelasnya.

Sumber: Kosmo! Online

Tags:

Comments (2)

 

  1. hidayah says:

    Salam

    Ucapan tahniah kepada Kumpulan Rahman Brothers atas kejayaan perniagaan yg berkembang maju..saya dari Manjung,Perak amat berminat dengan usaha pihak tuan untuk membuka kios BPS..saya berharap pihak tuan berbesar hati untuk memberi lorong kepada saya untuk menjadi usahawan berjaya seperti tuan..

    Sekian, terima kasih
    Hidayah

  2. Fred says:

    Salam Sejahtera,

    Saya amat berminat dengan perniagaan kios BPS KRB. Berasal dari Tuaran, Sabah. Setakat ini, tidak ada lagi sistem perniagaan kios sebegini di tempat saya. Saya berharap pihak KRB boleh memberi peluang kepada saya mendapatkan butir-butir lengkap mengenai kios BPS ini dan seterusnya menyertai program perniagaan tersebut.

    Sekian.

    Terima Kasih.

    Fred

Leave a Reply